Puasa Itu Inovasi Hati

Setelah hampir kering air liur diteguk, sampai juga kita ke fasa terakhir RAMADAN : 'pelepasan dari api neraka'.Namun, apa matlamat atau visi kita selama kita berpuasa?Bacalah tinta ana yang seterusnya.....

Puasa ialah peperangan untuk mengalahkan hawa nafsu yang sentiasa mengajak diri kepada kejahatan. Peperangan yang tidak pernah ada ‘gencatan senjata’ ini sentiasa berlaku dalam diri manusia dan ia menjadi semakin hebat pada bulan puasa. Pada bulan ini, Allah memberi kita pelbagai ‘senjata’ tambahan untuk mengalahkannya. Bukan itu sahaja, ‘mentor’ nafsu yang utama yakni syaitan telah dibelenggu dan tidak boleh membantu nafsu dalam usahanya mengalahkan akal bagi menguasai hati.



Apabila sumber kekuatan nafsu (makan minum) disekat, dan ia diserang bertubi-tubi oleh pelbagai jenis ibadat, sewajarnya hati akan bertambah bersih dan fikiran menjadi semakin jernih. Inilah yang akan membentuk seorang manusia yang baik. Rasulullah s.a.w. telah menegaskan bahawa di dalam diri manusia ada seketul daging, jika baik daging itu maka baiklah manusia tersebut. Sebaliknya jika jahat daging itu, maka jahat pulalah orang tersebut. Daging itu ialah hati.

Itulah peranan utama hati. Ia umpama raja di dalam kerajaan diri manusia. Jika raja baik, rakyat akan jadi baik. Maka begitulah bila hati baik, secara automatik tangan, kaki, mulut, hidung dan lain-lain pancaindera akan melahirkan kebaikan. Al-Quran memberikan informasi yang sangat banyak tentang hati ini.

Rasulullah s.a.w. berjaya mengubah sikap manusia kerana Baginda berjaya melakukan revolusi hati. Walaupun umat Arab Jahiliah ketika itu sedang berdepan dengan kegawatan politik (mereka sentiasa berbalah sesama sendiri), kegawatan ekonomi (ekonomi mereka dimonopoli oleh orang Yahudi) dan kegawatan sosial (perzinaan, perogolan, minum arak dan membunuh anak perempuan menjadi tradisi), tetapi Rasulullah s.a.w. tidak mengubat “penyakit-penyakit” itu pada akibat-akibatnya tetapi terus kepada puncanya – yakni hati. Baginda yakin kegawatan-kegawatan yang bersifat lahiriah itu ialah hasil daripada “sakitnya” hati.

Soal hati, bukan hanya penting pada peringkat awal perubahan tetapi ia perlu terus dijaga sepanjang usaha manusia untuk menjadi individu yang baik dan mampu memberi kebaikan.Rasulullah s.a.w. pernah mengingatkan bahawa setiap amalan bergantung kepada niat. Sabda Rasulullah s.a.w.: “Sesungguhnya setiap amalan bermula dengan niat.” (Riwayat Muslim)

Berderma misalnya, ialah amalan yang baik tetapi sekiranya dilakukan dengan niat untuk menunjuk-nunjuk, ia bertukar menjadi riyak dan hukumnya berdosa.Begitu juga solat. Pada zahirnya ia memang amalan yang mulia. Namun sekiranya hati orang yang melakukan solat kerana ingin “membesarkan” dirinya bukan membesarkan Ilahi, maka solat itu bukan lagi amalan yang mulia.

Pernah diberitakan bagaimana seorang yang rajin bersolat pada waktu malam dan berpuasa sunat pada siang harinya, tetapi Rasulullah s.a.w. mengatakan dia ialah ahli neraka, kerana lidahnya yang suka mencela jirannya. Mengapakah lidah suka mencela? Jawabnya kerana hatinya masih kotor, walaupun ibadahnya banyak.

Hati juga umpama kebun, semaikanlah “benih” rasa yang baik-baik, pasti kita akan menuai “buah” kebaikan. Ramadan yang semakin tiba ke penghujungnya ini ialah saat yang terbaik untuk membersihkan hati. Bayangkan apabila diri kita mendapat rahmat Allah, kemudian kita berusaha untuk meraih keampunan-Nya dan akhirnya dengan hati yang bersih itulah kita akan bebas daripada seksa api neraka. Insya-Allah.

Generalisasinya, ayuh teman kita bangkit segera menghamparkan tikar sejadah sekali gus melahirkan rasa tawaduk kepada empunya diri. Sekian,terima kasih.


Dari seseorang: Pemburu Rahimullah

Love to hear what you think!